|
Laman Web Rasmi |
|
![]()
|
MUKA DEPAN > IKLAN
|
|
|
1. MUKADIMAH
1.1 Program Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam ini adalah merupakan salah satu usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan Pentadbiran Awam Negara Brunei Darussalam.
1.2 Program ini diadakan setiap dua ( 2 ) tahun sekali.
1.3 Objektif program ini ialah untuk :
a. Membantu Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam mencapai objektif-objektif bagi rancangan-rancangan pembaharuan pentadbiran dengan lebih berkesan;
b. Memberikan dorongan dan sebagai penggerak serta pengiktirafan rasmi kepada pegawai-pegawai dan kakitangan sama ada secara perseorangan ataupun berkumpulan/berpasukan yang lebih memberikan sumbangan cemerlang untuk meningkatkan lagi prestasi, kualiti dan produktiviti organisasi masing-masing;
c. Menggalakkan persaingan yang sihat diantara pegawai-pegawai dan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam kearah memperbaiki dan mempertingkatkan lagi amalan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti; dan
d. Mewujudkan kesedaran mengenai dengan prestasi, kualiti dan produktiviti dikalangan pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
1.4 Penerbitan Garispandu Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam ini adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman tentang prosedur dan syarat-syarat penyertaan bagi anugerah tersebut.
2.1 Umum
2.1.1 Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam ini adalah terbuka kepada semua pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam Perkhidmatan-perkhidmatan Tetap, Kontrak, Sebulan ke Sebulan, Open-Vote dan Bergaji Hari, iaitu tidak termasuk :-
i. Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; ii. Pasukan Polis Diraja Brunei; dan iii. Unit Simpanan Gurkha.
2.1.2 Pencalonan bagi pegawai/kakitangan bolehlah dibuat secara perseorangan atau berkumpulan.
2.1.3 Semua pencalonan untuk Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam hendaklah merupakan projek-projek/program-program yang telah diperkenalkan dalam tempoh tidak melebihi daripada tiga tahun dari tarikh pencalonan dihadapkan, dan telah dilaksanakan tidak kurang daripada enam bulan dari tarikh pencalonan dihadapkan serta telah menunjukkan hasil-hasil atau faedah-faedah yang positif.
2.2 Tatatertib/Tapisan Keselamatan
2.2.1 Mana-mana pegawai/kakitangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah diambil tindakan tatatertib atau terlibat dengan kes jenayah tidak boleh dicalonkan untuk menyertai Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam sekurang-kurangnya 3 tahun dari tarikh tindakan sedemikian diambil.
2.2.2 Jika sekiranya seorang pegawai didapati mempunyai kes tatatertib atau kes jenayah yang mana dikategorikan sebagai masih dalam penyiasatan, maka pegawai berkenaan tidak layak untuk menyertai Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam.
3. PENCALONAN DAN PEMILIHAN PERINGKAT KEMENTERIAN/ JABATAN
3.1 Setiap Kementerian dan Jabatan bolehlah membentuk jawatankuasa masing-masing untuk memilih dan mencalonkan projek/program yang mewakili Kementerian/Jabatan berkenaan dengan mengisikan borang-borang yang telah disediakan. Ahli-ahli jawatankuasa berkenaan tidak dibenarkan menyertai Anugerah ini.
4. PENCALONAN PROJEK USAHASAMA
4.1 Pencalonan bagi projek/program yang melibatkan dua (2) atau lebih jabatan dalam Kementerian yang sama hendaklah dihadapkan oleh ketua kumpulan projek melalui Kementerian berkenaan untuk pertimbangan dan sokongan dan seterusnya menghadapkan kepada Jabatan Perkhidmatan Pengurusan.
4.2 Manakala pencalonan bagi projek/program yang melibatkan dua atau lebih jabatan dalam Kementerian yang berlainan hendaklah dihadapkan oleh ketua kumpulan projek/program melalui Kementerian yang mempunyai kaitan yang lebih rapat dengan projek/program berkenaan atau mana-mana Kementerian yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat.
5.1 Pencalonan dibukakan dalam dua kategori.
5.2 Setiap pencalonan hendaklah dikelaskan di bawah salah satu kategori yang berikut :-
a. Penyampaian Perkhidmatan
Projek-projek/program-program di bawah kategori ini adalah merupakan usaha-usaha penambahbaikan dan pembaharuan kearah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dan peningkatan prestasi organisasi. Dalam penyampaian perkhidmatan ini, faedah-faedah kewangan bukanlah merupakan faktor utama tetapi lebih menumpukan kepada usaha-usaha penambahbaikan seperti perkhidmatan-perkhidmatan kaunter (counter services) dan mana-mana perkhidmatan yang berasaskan pelanggan/klien.
b. Kewangan
Projek-projek/program-program yang di bawah kategori ini adalah merupakan usaha-usaha penambahbaikan dan pembaharuan yang lebih menumpukan perhatian kepada kewangan yangmana mengutamakan kepada hasil/kesan yang mengambilkira pulangan/faedah dalam bentuk kewangan seperti penjimatan kos; peningkatan pendapatan/hasil; keberkesanan kos; dan “value for money”.
6.1 Setiap Kementerian hanya dibenarkan untuk menghadapkan tidak lebih dari 3 projek/program yang terbaik bagi setiap kategori.
7.1 Pemenang Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam bagi setiap kategori akan menerima hadiah masing-masing seperti berikut :
i. Anugerah bagi Kategori Penyampaian Perkhidmatan
a. Pertama - Anugerah Emas yang berupa wang berjumlah B$8,000.00 dan sebuah piala;
b. Kedua - Anugerah Perak yang berupa wang berjumlah B$5,000.00 dan sebuah piala;
c. Ketiga - Anugerah Gangsa yang berupa wang berjumlah B$3,000.00 dan sebuah piala;
d. Keempat - Wang berjumlah B$1,000.00 tiap-tiap satu; dan hingga keenam
e. Sijil Penghargaan akan diberikan kepada semua penyertaan.
ii. Anugerah bagi Kategori Kewangan
a. Pertama - Anugerah Emas yang berupa wang berjumlah B$8,000.00 dan sebuah piala;
b. Kedua - Anugerah Perak yang berupa wang berjumlah B$5,000.00 dan sebuah piala;
c. Ketiga - Anugerah Gangsa yang berupa wang berjumlah B$3,000.00 dan sebuah piala;
d. Keempat - Wang berjumlah B$1,000.00 tiap-tiap satu; dan hingga keenam
e. Sijil Penghargaan akan diberikan kepada semua penyertaan.
8.1 Format laporan bagi projek/program yang hendak dicalonkan untuk menyertai Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam, Negara Brunei Darussalam bolehlah dibuat mengikut budibicara kumpulan/pegawai berkenaan tetapi laporan tersebut hendaklah meliputi aspek-aspek penting seperti berikut :-
i. Ringkasan projek/program (executive summary). ii. Tujuan/objektif projek/program. iii. Bidang/aspek tumpuan (focus/scope) projek/program. iv. Latar belakang/keadaan/masalah perkhidmatan yang diberikan sebelum perlaksanaan projek/program yang dicalonkan (jika berkenaan).
v. Kesan perlaksanaan projek/program : kepada keadaan perkhidmatan, sumbangan projek/program terhadap orang ramai/penerima perkhidmatan dan prestasi organisasi iaitu tahap produktiviti, kualiti, efisiensi dan keberkesanan yang dicapai oleh Kementerian/Jabatan berkenaan melalui perlaksanaan projek/program yang dicalonkan.
vi. Kaedah/teknik-teknik pengurusan yang digunakan dalam melaksanakan projek/program yang dicalonkan.
vii. Maklumat-maklumat seperti perangkaan/carta, laporan/hasil kajiselidik serta lain-lain keterangan yang menyokong pelaksanaan dan hasil pencapaian projek/program yang dicalonkan.
viii. Rancangan lanjut bagi mempastikan keberkesanan projek/program berkenaan dimasa hadapan.
9. PANEL PENILAIAN DAN PEMILIHAN
9.1 Proses penilaian dan pemilihan bagi Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam ini akan dilaksanakan oleh satu Panel Penilaian dan Pemilihan yang dilantik oleh Jawatankuasa Pembaharuan Perkhidmatan Awam.
9.2 Panel Penilaian dan Pemilihan akan membuat lawatan bagi tujuan untuk memerhati, meneliti dan menyaksikan dengan terperinci tentang perkembangan dan keberkesanan projek-projek/program-program yang dicalonkan.
9.3 Jawatankuasa Pembaharuan Perkhidmatan Awam akan memberikan maklumat kepada Panel Penilaian dan Pemilihan mengenai laporan prestasi organisasi Kementerian-kementerian/Jabatan-jabatan yang menghadapkan projek-projek untuk Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam bagi faedah penilaian terhadap projek-projek yang dicalonkan.
9.4 Keputusan Panel Penilaian dan Pemilihan di peringkat kebangsaan bagi Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam adalah muktamad.
10. KRITERIA PENILAIAN DAN PEMILIHAN
10.1 Sebanyak 4 kriteria akan dijadikan asas penilaian untuk mengukur tahap pencapaian/keberkesanan sesebuah projek/program yang dicalonkan bagi setiap kategori pencalonan :-
a. Objektif-objektif/hasil-hasil/faedah-faedah/usaha-usaha yang akan dicapai/ diperolehi;
b. Aspek-aspek pengkajian/penelitian semula/penambahbaikan/ pembaharuan; c. Kepastian kualiti perkhidmatan; dan
d. Kualiti pengkajian/penelitian semula/penambahbaikan/pembaharuan.
10.2 Setiap kriteria yang tersebut diatas mempunyai ciri-ciri penilaian tertentu yang berhubungkait dengan setiap kategori pencalonan berkenaan yang mana penjelasan lanjut mengenainya adalah seperti di Lampiran-Lampiran A1 dan A2.
11. PEMARKAHAN
11.1 Pemilihan bagi Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam dibuat dengan berdasarkan kepada pencapaian markah yang paling tinggi menurut kriteria-kriteria, cara dan asas pemilihan/perkiraan yang telah ditetapkan.
11.2 Sistem "weightage" digunakan bagi memastikan pemberian markah yang tepat mengenai pencapaian projek/program berkenaan bagi setiap ciri/sifat. "Weightage" adalah merupakan satu pertimbangan bagi menentukan kepentingan dan perimustahaknya sesuatu ciri bagi setiap kategori anugerah berkenaan.
11.3 "Weightage" bagi setiap ciri penilaian ditetapkan mengikut kepentingan ciri-ciri berkenaan. Walaubagaimanapun, Panel Penilaian dan Pemilihan yang dilantik oleh Jawatankuasa Pembaharuan Perkhidmatan Awam mempunyai kuasa untuk mengubahsuai "weightage" dan ciri-ciri/kriteria penilaian yang telah ditetapkan, jika perlu, untuk memastikan penilaian dan pemilihan yang objektif dan saksama.
11.4 Sistem markah akan digunakan bagi menentukan tahap pencapaian sesebuah projek/program yang dicalonkan untuk tujuan pemilihan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam yang mana markah penuh ialah 100%. Cara permarkahannya adalah seperti berikut :-
11.4.1 Borang B1/B2
i. Markah yang akan diberi bagi setiap ciri-ciri kecil dalam ciri-ciri utama ialah 1-10 : ( a ).
ii. "Weightage" bagi setiap ciri-ciri kecil dalam ciri-ciri utama ( b ) ialah 1-6 bagi ciri 1; 1-7 bagi ciri 2; 1-8 bagi ciri 3; dan 1-7 bagi ciri 4.
iii. Jumlah Markah ( c ) bagi ciri-ciri kecil ialah : ( a x b = c ).
11.4.2 Borang C
i. Markah bagi setiap ciri yang terdapat dalam Borang B1/B2 (Jumlah markah ciri-ciri kecil) dimasukkan semula ke dalam ruang ( d ).
ii. "Weightage" bagi setiap ciri-ciri utama ialah 1 - 4 ( e ).
iii. Jumlah Markah ( f ) bagi ciri-ciri utama ialah : ( d x e = f ).
11.5 Bagi membantu dalam memahami sistem pemarkahan yang telah ditetapkan, contoh pemarkahan Borang-Borang B1, B2 dan Borang C adalah seperti di Lampiran-Lampiran B dan C.
12.1 Setiap pencalonan hendaklah dibuat dengan mengisikan Borang-Borang A (Lampiran D), B1/B2 dan C yang boleh didapati di Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri dan borang-borang pencalonan yang telah dilengkapkan hendaklah dikembalikan kepada Jabatan berkenaan melalui Kementerian masing-masing.
13. MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
13.1 Penyampaian anugerah kepada penerima-penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam diadakan sempena majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam.
1.
PENJELASAN MENGENAI CIRI-CIRI PENILAIAN [ Bagi Kategori Penyampaian Perkhidmatan ]
1. Objektif-objektif/Hasil-hasil/Faedah-faedah/Usaha-usaha Yang Akan Dicapai/Diperolehi
1.1 Ciri kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan/orang awam boleh dinilai dengan berasaskan kepada sasaran-sasaran perkhidmatan yang tertentu. Misalnya, peningkatan kualiti perkhidmatan dari segi penyampaian perkhidmatan yang lebih bersistematik, cepat, tepat, selamat dan berunsurkan sikap pemedulian.
1.2 Penilaian keatas ciri peningkatan kepuasan hati pelanggan/orang awam boleh dibuat berdasarkan kepada maklumbalas/input pelanggan/orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan. Maklumat mengenai aspek ini selalunya diperolehi melalui kajiselidik pelanggan/orang awam.
1.3 Ciri peningkatan kecekapan dan keberkesanan pengurusan/organisasi adalah berkaitrapat dengan usaha-usaha kearah penggunaan sumber-sumber secara optima. Oleh itu, penilaian bolehlah dipertimbangkan dengan mengambilkira faktor input dan output yang mana teknik seperti "Cost-Benefit Analysis" bolehlah digunakan.
1.4 Ciri peningkatan kualiti, produktiviti dan prestasi kerja/organisasi dinilai berdasarkan peningkatan pencapaian organisasi berbanding dengan sasaran/target yang ditetapkan sebelumnya. i 1.5 Penilaian bagi ciri penjimatan masa boleh dipertimbangkan dengan berasaskan kepada dua aspek perbandingan : masa yang dapat dikurangkan dalam proses memberikan sesuatu perkhidmatan melalui pelaksanaan sesuatu projek/program; dan/atau penjimatan masa yang dicapai berbanding dengan piawaian tertentu bagi perkhidmatan berkenaan.
1.6 Ciri penggunaan tenaga manusia boleh dinilai dengan melihat sama ada tenaga manusia digunakan secara optima tanpa menjejaskan atau dapat mempertingkatkan lagi hasil pengeluaran organisasi berkenaan.
2. Aspek-Aspek Pengkajian/Penelitian Semula/Penambahbaikan/ Pembaharuan
2.1 Penilaian bagi ciri kualiti penyampaian perkhidmatan boleh dipertimbangkan dari sudut sejauhmana sesuatu projek/program ditumpukan kepada peningkatan kualiti penyampaian bagi perkhidmatan berkenaan. Misalnya, dari segi aspek-aspek masa, tahap keselamatan, pemedulian, keselesaan, dan kesempurnaan.
2.2 Ciri produktiviti adalah berkaitrapat dengan perbandingan diantara nisbah input dan output bagi sesuatu perkhidmatan melalui penggunaan sumber tertentu atau gabungannya. Oleh itu, penilaian bolehlah dibuat dengan mempertimbangkan sejauhmana pelaksanaan projek/program bertumpu kepada usaha-usaha peningkatan produktiviti dan sama ada pencapaian yang diperolehi dapat menepati piawaian/sasaran tertentu bagi perkhidmatan berkenaan.
2.3 Ciri sistem-sistem merupakan rangka kerja (framework) yang digunakan sebagai landasan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kerja kearah pencapaian matlamat tertentu. Dalam hubungan ini, penilaian ditumpukan kearah tahap keberkesanan sistem yang digunakan/diperkenalkan atau sejauhmana penelitian/perhatian ditumpukan pada kesesuaian sistem yang ada dalam melaksanakan projek/program berkenaan.
2.4 Ciri proses-proses merupakan aliran perlaksanaan setiap kerja yang terlibat didalam menyediakan sesuatu perkhidmatan. Sehubungan dengan ini, penilaian adalah berdasarkan kepada sejauhmana projek yang dicalonkan melibatkan pembaikan/memudahkan lagi proses menyediakan sesuatu perkhidmatan yang berkaitan dengannya kearah peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan organisasi berkenaan.
2.5 Ciri prosedur-prosedur merupakan tertib atau panduan yang perlu diikuti dalam melaksanakan aktiviti kerja sepertimana dicadangkan dalam projek yang dicalonkan. Oleh itu, penilaian perlu dibuat dari sudut kesesuaian/keberkesanan prosedur-prosedur yang dicadangkan/digunakan. Ini termasuklah membuat pertimbangan/penilaian semula keatas prosedur-prosedur yang sedia ada.
2.6 Penilaian ciri struktur organisasi dipertimbangkan dari sudut sejauhmana projek yang dicalonkan melibatkan keperluan mengubahsuai struktur organisasi jabatan berkenaan.
2.7 Penilaian ciri pindaan undang-undang/peraturan-peraturan digunakan untuk meneliti sama ada projek yang dicalonkan melibatkan pindaan undang-undang/peraturan atau sebaliknya.
3. Kepastian Kualiti Perkhidmatan
3.1 Ciri sistem pengukuran prestasi/kualiti/produktiviti menunjukkan keperluan sesebuah organisasi mewujudkan sistem pengukuran bagi maksud mempastikan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.
3.2 Ciri manual prosedur kerja mengandungi maklumat lengkap yang boleh dijadikan sebagai garispandu dalam pelaksanaan sesuatu kerja yang berkaitan dengan projek/program berkenaan.
3.3 Ciri carta aliran kerja merupakan gambaran secara grafik mengenai proses yang terlibat dalam menjalankan sesuatu kerja. Dengan adanya carta ini, setiap proses yang perlu diambil dapat diperlihatkan dengan jelas mengikut aliran yang betul.
3.4 Ciri senarai semakan merupakan kaedah perancangan dan kawalan kerja yang ringkas dan tepat dimana tindakan-tindakan perlu diambil dalam mengendalikan sesuatu tugas yang disenaraikan. Penilaian hendaklah dipertimbangkan dari segi penggunaan senarai semakan dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek/program berkenaan.
3.5 Ciri kemahiran sumber tenaga manusia dinilai dari segi langkah-langkah yang diambil oleh organisasi berkenaan kearah mempastikan keberkesanan, kecekapan dan kemahiran pegawai/kakitangan yang terlibat dalam pencapaian matlamat projek/program berkenaan.
3.6 Ciri sistem pengurusan maklumat/rekod yang kemas dan berkesan membolehkan maklumat disimpan, dikendali dan didapatkan semula dengan tepat dan cepat, disamping membantu pihak pengurusan membuat keputusan dengan segera. Oleh itu, ciri ini dinilai dari segi keberkesanan sistem pengurusan maklumat/rekod dalam perancangan dan pelaksanaan projek/program berkenaan.
3.7 Ciri sistem penyelenggaraan mesin dan alat-alat kelengkapan pejabat dinilai dengan berasaskan kepada keberkesanan sistem berkenaan dalam memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan bagi organisasi berkenaan.
3.8 Ciri peralatan kerja yang sesuai boleh dinilai dari aspek keberkesanan peralatan yang digunakan dalam membantu kearah pencapaian objektif projek/program berkenaan.
4. Kualiti Pengkajian/Penelitian Semula/Penambahbaikan/Pembaharuan
4.1 Ciri kualiti cadangan/sumbangan dinilai dari segi idea-idea yang bermutu yang mana dapat membantu kearah pencapaian misi dan wawasan organisasi berkenaan.
4.2 Ciri kesan (impact) dinilai dari aspek kesan dalaman dan luaran organisasi. Misalnya, kesan projek kepada organisasi, pekerja, orang awam/pelanggan dan negara amnya.
4.3 Ciri complexity boleh dilihat dari segi skop, penggunaan sumber-sumber, proses, dan seumpamanya, dan sejauhmana isu-isu yang berkaitan dengannya dapat ditangani melalui pelaksanaan projek/program berkenaan.
4.4 Ciri inovatif boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada hasil-hasil/faedah-faedah yang dicapai melalui pemakaian idea baru dalam melaksanakan sesebuah projek/program berkenaan.
4.5 Ciri kesinambungan memberikan petunjuk (indicators) yang jelas dalam bentuk "projection" tentang hasil/faedah yang akan diperolehi dalam jangka waktu yang tertentu.
4.6 Ciri teknik-teknik atau kaedah-kaedah pengurusan yang digunakan boleh dinilai dari segi penggunaan kaedah-kaedah pengurusan seperti Management By Objective, Performance Improvement Program, Kumpulan Kerja Cemerlang (Quality Control Circles), Pengurusan Kualiti Menyeluruh (Total Quality Management) dan seumpamanya dalam melaksanakan sesebuah projek/program.
4.7 Ciri bagaimana data dan maklumat dikumpul, diproses, dianalisa dan digunakan dipertimbangkan dari aspek cara/kaedah yang digunakan bagi mendapatkan/mengumpul, memproses, dan menganalisa data dan seterusnya dimanfaatkan dalam mengungkayahkan projek yang dicalonkan. Misalnya, penggunaan kaedah kajiselidik, "pilot study" dan seumpamanya yang mana maklumat yang diperolehi darinya dapat dimanfaatkan.
PENJELASAN MENGENAI CIRI-CIRI PENILAIAN [ Bagi Kategori Kewangan ]
1. Objektif-objektif/Hasil-hasil/Faedah-faedah/Usaha-usaha Yang Akan Dicapai/Diperolehi
1.1 Ciri keberkesanan kos dipertimbangkan dengan berasaskan kepada perbandingan hasil yang diperolehi melalui pelaksanaan sesuatu projek/program dengan nilai sumber-sumber yang digunakan oleh organisasi berkenaan.
1.2 Ciri peningkatan hasil/pendapatan/pengeluaran organisasi bolehlah dinilai dari segi sejauhmana keberkesanan sesuatu projek/program dalam meningkatkan hasil/pendapatan/pengeluaran organisasi berbanding dengan sasaran/ piawaian yang ditetapkan oleh organisasi berkenaan.
1.3 Ciri penjimatan kewangan merupakan salah satu faktor yang diambilkira dalam menentukan tahap prestasi sesebuah organisasi. Ciri ini boleh dinilai dengan berasaskan kepada sumbangan sesuatu projek/program dalam menjimatkan perbelanjaan/kos organisasi berkenaan berbanding dengan sebelumnya.
1.4 Ciri peningkatan kecekapan dan keberkesanan pengurusan/organisasi adalah berkaitrapat dengan usaha-usaha pihak pengurusan terhadap penggunaan sumber-sumber secara optima dengan mengambilkira terhadap faktor "value for money".
1.5 Ciri peningkatan kualiti, produktiviti dan prestasi kerja/organisasi dinilai berdasarkan peningkatan pencapaian organisasi berbanding dengan sasaran/target yang ditetapkan sebelumnya.
1.6 Ciri kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan/orang awam boleh dinilai dengan berasaskan kepada sasaran-sasaran perkhidmatan yang tertentu. Misalnya, peningkatan kualiti perkhidmatan dari segi penyampaian perkhidmatan yang lebih bersistematik, cepat, tepat, selamat dan berunsurkan sikap pemedulian.
2. Aspek-Aspek Pengkajian/Penelitian Semula/Penambahbaikan/ Pembaharuan
2.1 Ciri produktiviti adalah berkaitrapat dengan perbandingan diantara nisbah input dan output bagi sesuatu perkhidmatan melalui penggunaan sumber kewangan atau gambungannya dengan sumber-sumber lain. Oleh itu, penilaian bolehlah dibuat dengan mempertimbangkan sejauhmana pelaksanaan projek/program bertumpu kepada usaha-usaha peningkatan produktiviti dan sama ada pencapaian yang diperolehi dapat menepati piawaian/sasaran tertentu bagi perkhidmatan berkenaan.
2.2 Ciri sistem-sistem merupakan rangka kerja (framework) yang digunakan sebagai landasan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kerja kearah pencapaian matlamat tertentu. Dalam hubungan ini, penilaian ditumpukan kearah tahap keberkesanan sistem yang digunakan/diperkenalkan atau sejauhmana penelitian/perhatian ditumpukan pada kesesuaian sistem yang ada dalam merancang/melaksanakan projek berkenaan.
2.3 Ciri proses-proses merupakan aliran perlaksanaan setiap kerja yang terlibat didalam menyediakan sesuatu perkhidmatan. Sehubungan dengan ini, penilaian adalah berdasarkan kepada sejauhmana projek/program yang dicalonkan melibatkan pembaikan/memudahkan lagi proses menyediakan sesuatu perkhidmatan yang berkaitan dengannya kearah peningkatan hasil, pendapatan, keberkesanan kos dan penjimatan kewangan organisasi berkenaan.
2.4 Prosedur-prosedur merupakan tertib atau panduan yang perlu diikuti dalam melaksanakan aktiviti kerja sepertimana dicadangkan dalam projek yang dicalonkan. Oleh itu, penilaian perlu dibuat dari sudut kesesuaian/keberkesanan prosedur-prosedur yang dicadangkan/digunakan. Ini termasuklah membuat pertimbangan/penilaian semula keatas prosedur-prosedur yang sedia ada.
2.5 Penilaian bagi ciri kualiti penyampaian perkhidmatan boleh dipertimbangkan dari sudut sejauhmana sesuatu projek/program ditumpukan kepada peningkatan kualiti penyampaian bagi perkhidmatan berkenaan. Misalnya, projek/program tersebut mungkin menumpukan soal-soal seperti pemeriksaan proses, kawalan pengeluaran dan seumpamanya.
2.6 Penilaian ciri struktur organisasi dipertimbangkan dari sudut sejauhmana projek yang dicalonkan melibatkan keperluan mengubahsuai struktur organisasi jabatan berkenaan.
2.7 Penilaian ciri pindaan undang-undang/peraturan-peraturan digunakan untuk meneliti sama ada projek yang dicalonkan melibatkan pindaan undang-undang/peraturan atau sebaliknya.
3. Kepastian Kualiti Perkhidmatan
3.1 Ciri sistem pengukuran prestasi/kualiti/produktiviti menunjukkan keperluan sesebuah organisasi mewujudkan sistem pengukuran bagi maksud mempastikan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.
3.2 Ciri manual prosedur kerja mengandungi maklumat lengkap yang boleh dijadikan sebagai garispandu dalam pelaksanaan sesuatu kerja yang berkaitan dengan projek/program berkenaan.
3.3 Ciri carta aliran kerja merupakan gambaran secara grafik mengenai proses yang terlibat dalam menjalankan sesuatu kerja. Dengan adanya carta ini, setiap proses yang perlu diambil dapat diperlihatkan dengan jelas mengikut aliran yang betul.
3.4 Ciri senarai semakan merupakan kaedah perancangan dan kawalan kerja yang ringkas dan tepat dimana tindakan-tindakan perlu diambil dalam mengendalikan sesuatu tugas yang disenaraikan. Penilaian hendaklah dipertimbangkan dari segi penggunaan senarai semakan dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek/program berkenaan.
3.5 Ciri kemahiran sumber tenaga manusia dinilai dari segi langkah-langkah yang diambil oleh organisasi berkenaan kearah mempastikan keberkesanan, kecekapan dan kemahiran pegawai/kakitangan yang terlibat dalam pencapaian matlamat projek/program berkenaan.
3.6 Ciri sistem pengurusan maklumat/rekod yang kemas dan berkesan membolehkan maklumat disimpan, dikendali dan didapatkan semula dengan tepat dan cepat, disamping membantu pihak pengurusan membuat keputusan dengan segera. Oleh itu, ciri ini dinilai dari segi keberkesanan sistem pengurusan maklumat/rekod dalam perancangan dan pelaksanaan projek/program berkenaan. |