
1.
PENDAHULUAN
1.1 Kertas kerja mengenai
Penandaarasan (Benchmarking) dalam Perkhidmatan Awam, Negara
Brunei Darussalam telah disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan,
Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, iaitu sebagai susulan
ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Pembaharuan Perkhidmatan Awam ke-63,
yang bersidang pada 14 September 2000.
1.2 Penandaarasan adalah salah satu
usaha yang perlu dilaksanakan bagi penambahbaikan secara berterusan.
Penandaarasan mula digunakan oleh syarikat-syarikat swasta di negara
barat dalam tahun 80an untuk melihat amalan terbaik bagi sesuatu proses
kerja dan mengubahsuaikannya untuk dilaksanakan dalam syarikat mereka.
1.3 Di dalam Perkhidmatan Awam
Negara Brunei Darussalam, pelbagai program peningkatan produktiviti dan
kualiti telah diperkenalkan dan diungkayahkan dan setentunya
penandaarasan akan memantapkan lagi usaha-usaha Kerajaan ke arah
kecemerlangan. Perlaksanaan penandaarasan ini akan juga mempergiatkan
lagi usaha penambahbaikan secara berterusan serta membudayakan kerja
cemerlang, yang sekaligus meningkatkan lagi kualiti penyampaian
perkhidmatan dan produk kepada pelanggan/orang ramai.
2.
OBJEKTIF PENANDAARASAN
2.1
Di antara objektif penandaarasan ini adalah untuk:
2.1.1
mewujudkan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam yang beriltizam,
berkualiti, berkesan, cemerlang, cekap, berakhlak dan beretika;
2.1.2
membantu Kementerian/Jabatan mengenaplasti, melaksana dan menghayati
amalan-amalan pengurusan yang terbaik melalui penandaarasan;
2.1.3
meningkatkan prestasi, kecekapan dan keberkesanan pegawai dan kakitangan
serta organisasi; dan
2.1.4
meningkatkan tahap prestasi, kualiti dan produktiviti dalam Perkhidmatan
Awam, Negara Brunei Darussalam.
3.
KONSEP PENANDAARASAN
3.1 Penandaarasan
adalah merupakan satu proses sistematik dan berterusan untuk
mengenalpasti, mempelajari, mengubahsuai dan melaksanakan amalan-amalan
terbaik daripada organisasi yang sama atau organisasi yang lain untuk
mencapai prestasi unggul (Garispandu pelaksanaan penandaarasan dalam
Perkhidmatan Awam, Malaysia, JPM Julai 1/99). Di dalam konsep
penandaarasan ini apa yang perlu ialah setiap agensi/organisasi
mengenalpasti Rakan Rujukan di mana pengukuran boleh dilaksanakan dan
meninjau amalan baik yang dilakukan oleh pihak/agensi lain. Ini adalah
merupakan satu cara untuk mencapai standard kecemerlangan.
3.2
Ada dua (2) agensi yang
terlibat di dalam pelaksanaan konsep penandaarasan iaitu :
3.2.1
Agensi Pelaksana - agensi yang melaksanakan
penandaarasan; dan,
3.2.2
Rakan Rujukan - adalah punca rujukan di mana amalan
terbaik akan dirujuk oleh agensi pelaksana untuk proses pembelajaran.
3.3 Dari sudut falsafah, konsep
penandaarasan ini adalah satu budaya yang ingin mewujudkan sikap rendah
diri serta sentiasa ingin memperbaiki prestasi dan penghasilan kerja
Agensi-agensi. Organisasi perlu mempunyai minda yang terbuka untuk
menerokai ide/kaedah yang diamalkan oleh agensi/organisasi lain dan
bersedia untuk memperbaiki pendekatan kerja. Peningkatan kualiti
perkhidmatan dan produk serta kepuasan hati pelanggan adalah merupakan
objektif utama konsep penandaarasan.
4.
RASIONAL PELAKSANAAN
PENANDAARASAN
4.1
Rasional bagi pelaksanaan penandaarasan di dalam Perkhidmatan Awam
Negara Brunei Darussalam adalah untuk:
4.1.1
mendukung agensi agar melaksanakan usaha-usaha penambahbaikan secara
berterusan melalui pengukuran prestasi dan persaingan yang sihat;
4.1.2
menggerakkan agensi mengamalkan konsep pembelajaran dan proses
penambahbaikan secara berterusan;
4.1.3
mendorong agensi bagi mencari ide-ide yang lebih baik untuk dilaksanakan;
4.1.4
meningkatkan kepakaran dalam sesuatu bidang tugas/tanggungjawab/proses
kerja;
4.1.5
mewujudkan satu system perkongsian maklumat bersama di antara Agensi
Pelaksana dan Rakan Rujukan;
4.1.6
mengeratkan rangkaian kerjasama di kalangan agensi-agensi Kerajaan dan
sektor-sektor lain; dan
4.1.7
menanai konsep pengurusan kualiti yang berorientasikan pelanggan.
5.
PERINGKAT/JENIS-JENIS
PENANDAARASAN
5.1
Terdapat lima (5) peringkat/jenis penandaarasan yang boleh
dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan mengikut kesesuaian
masing-masing iaitu :
5.1.1
Penandaarasan Secara Dalaman
Penandaarasan secara dalaman dapat dilaksanakan di dalam organisasi itu
sendiri dengan merujuk kepada bahagian atau unit lain yang mempunyai
amalan yang baik. Oleh yang demikian, perkongsian maklumat ini akan
membuahkan kerjasama di antara bahagian-bahagian di dalam organisasi dan
akhirnya meningkatkan prestasi organisasi keseluruhannya.
5.1.2
Penandaarasan Dengan Agensi Kerajaan Lain Yang Mempunyai
Fungsi Yang Sama
Penandaarasan yang seterusnya ialah
dengan agensi Kerajaan lain yang mempunyai fungsi yang sama. Contohnya,
Lembaga Bandaran ingin memperbaiki sistem pengutipan sampah bolehlah
merujuk kepada Rakan Rujukannya iaitu seperti Lembaga Bandaran di Daerah
Belait/Seria atau Lembaga Bandaran Daerah Tutong yang diketahui
mempunyai amalan terbaik di dalam proses pengutipan sampah yang lebih
efektif.
5.1.3
Penandaarasan Dengan Agensi Kerajaan Lain Yang Mempunyai
Fungsi Yang Berlainan
Penandaarasan juga boleh dirujuk dengan agensi Kerajaan yang mempunyai
fungsi yang berlainan. Walau bagaimanapun, penandaarasan hanya boleh
dilaksanakan jika ada persamaan dalam proses kerja. Sebagai contoh,
Jabatan Perkhidmatan Pengurusan bercadang untuk memperbaiki sistem
khutubkhanah bolehlah merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang
mempunyai proses amalan yang baik untuk digunakan.
5.1.4
Penandaarasan Dengan Sektor Lain
Sektor swasta dan yang lainnya boleh juga dirujuk bagi melaksanakan
penandaarasan. Sebagai contoh, Hospital RIPAS ingin memperbaiki
pengurusan dalam perkhidmatan sajian makanan kepada pesakit-pesakit.
Pihak Hospital RIPAS boleh merujuk kepada Syarikat Penerbangan Diraja
Brunei (RBA) yang mempunyai amalan terbaik dalam perkhidmatan sajian
makanan untuk pelanggan-pelanggan di dalam pesawat penerbangannya dari
segi kebersihan dan kualiti makanan yang dihidangkan.
5.1.5
Penandaarasan Dengan Agensi Luar
Kita boleh juga melaksanakan
penandaarasan dengan agensi luar negeri jika ia mempunyai amalan proses
kerja yang terbaik yang tidak terdapat di negara kita. Walau
bagaimanapun, agensi pelaksana perlu mengambilkira implikasi kewangan
yang terlibat di dalam melaksanakannya. Untuk mengelakkan kos yang
tinggi, kita tidak perlu mengadakan lawatan kepada Rakan Rujukan kita
yang berada di luar negeri berkenaan tetapi kita bolehlah memperolehi
maklumat yang diperlukan melalui e-mail atau melalui perhubungan surat
menyurat. Sebagai contoh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
ingin menghasilkan kad canggih yang dimanfaatkan untuk beberapa kegunaan
selain daripada sebagai kad pengenalan dengan ciri-ciri keselamatan
yang tinggi. Rakan Rujukan yang menggunakan kaedah ini dengan baiknya
ialah Republik Singapura. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
boleh mempelajari dari agensi berkenaan mengenai cara kad tersebut
direkacipta dengan ciri-ciri keselamatan dan proses pengeluarannya.
6.1
Terdapat lapan (8)
langkah dalam melaksanakan penandaarasan secara sistematik seperti
rajah 1
:
5.1.1
Langkah
1 : Mengenalpasti dan Memilih Projek Penandaarasan
Untuk melaksanakan penandaarasan, apa yang terlebih dahulu dibuat oleh
agensi pelaksana ialah mengenalpasti perkhidmatan yang perlu
ditambahbaik, seperti penambahbaikan dari segi kualiti perkhidmatan,
kualiti produk, proses kerja, serta cara penyampaian perkhidmatan dan
penghasilan produk. Penandaarasan hanya perlu dibuat pada satu projek
saja dan jika ada dua atau tiga bidang yang dibuat, penandaarasan
hanyalah pada bidang yang sama atau yang berhubungkait antara satu
dengan yang lain saja. Kaedah/teknik yang diamalkan di dalam Program
Kumpulan Kerja Cemerlang seperti analisis kesan akibat, analisis s.w.o.t.
dan percambahan fikiran adalah relevan dalam langkah pertama ini .
Contoh
Contoh perkhidmatan : Pengeluaran Lesen
Contoh proses kerja : Pengurusan Fail
Contoh barangan : Kad Pengenalan
5.1.2
Langkah 2 : Mewujudkan Kumpulan Tindakan/Jawatankuasa
Kerja Penandaarasan
Jika sudah terdapat jawatankuasa pemandu kualiti dan produktiviti atau
seumpamanya di dalam sesuatu agensi itu, maka jawatankuasa yang sama
boleh digunakan untuk menggerakkan pelaksanaan Penandaarasan ini melalui
kumpulan tindakan/jawatankuasa kerja Penandaarasan seperti Kumpulan/Pengurusan,
Kumpulan Kerja Cemerlang dan sebagainya. Fungsi kumpulan tindakan/jawatankuasa
kerja ini ialah :
5.1.2.1
Memilih ahli-ahli pasukan
petugas penandaarasan yang bersesuaian;
5.1.2.2
Mengenalpasti bidang yang
akan ditambahbaik;
5.1.2.3
Memantau kemajuan
penandaarasan; dan,
5.1.2.4
Menilai keberkesanan
tindakan-tindakan penambahbaikan.
Tempoh pelaksanaan penandaarasan ialah enam (6) hingga dua belas (12)
bulan bergantung kepada kerumitan projek. Ahli-ahli kumpulan/jawatankuasa
boleh melibatkan diri di dalam penandaarasan sama ada sepenuh masa atau
secara sambilan. Walau bagaimanapun, ahli-ahli kumpulan/jawatankuasa
hendaklah berupaya meluangkan masa untuk melaksanakan projek
penandaarasan ini.
5.1.3
Langkah
3 : Latihan
Untuk memastikan kejayaan pelaksanaan konsep ini, pihak pengurusan
atasan perlu diberikan latihan dan pendedahan mengenai konsep
penandaarasan, peranan yang perlu dimainkan, strategi pelaksanaan dan
faedah daripada penandaarasan. Selain itu, kumpulan tindakan/jawatankuasa
kerja penandaarasan juga perlu diberi latihan yang mendalam mengenai
langkah-langkah pelaksanaan penandaarasan agar mereka dapat
melaksanakannya dengan teratur dan berkesan. Dalam usaha untuk
menyebarluaskan konsep dan perlaksanaan inisiatif ini, Institut
Perkhidmatan Awam perlu memainkan peranan penting dalam merancang
program latihan mengenai penandaarasan.
5.1.4 Langkah
4 : Mengenalpasti Amalan Terbaik dan Memilih Rakan
Rujukan
Setelah mengenalpasti projek yang hendak dilaksanakan, apa yang perlu
ialah untuk memilih Rakan Rujukan yang mempunyai amalan-amalan terbaik
di dalam bidang yang berkaitan. Untuk maksud itu, agensi pelaksana boleh
juga merujuk kepada projek-projek yang menyertai/memenangi Anugerah
Cemerlang Perkhidmatan Awam. Antara ciri-ciri Rakan Rujukan yang baik
ialah :
5.1.4.1
Mempunyai amalan terbaik di
dalam bidang berkenaan; dan,
5.1.4.2
Sanggup meluangkan masa dan
berkongsi maklumat.
Setelah agensi pelaksana memilih Rakan Rujukan dan persetujuan bersama
diperolehi, satu pelan pelaksanaan proses penandaarasan boleh disediakan.
Pelan tindakan perlu mengandungi jadual pelaksanaan, keahlian kumpulan
tindakan/jawatankuasa kerja, pegawai yang dihubungi di agensi Rakan
Rujukan serta jadual lawatan sekiranya perlu.
5.1.5
Langkah
5 : Mengumpul Maklumat
5.1.5.1
Memperolehi Maklumat:
Maklumat perlu dikumpulkan oleh
agensi pelaksana dan haruslah berkaitan dengan produk, perkhidmatan atau
proses kerja yang hendak ditambahbaik. Terdapat dua (2) kaedah yang
boleh digunakan untuk memperoleh maklumat iaitu:
5.1.5.1.1 Maklumat
Secara Langsung (direct): Maklumat secara langsung boleh
diperolehi secara terus dari Rakan Rujukan dengan cara membuat lawatan,
perbualan telefon, surat menyurat, perbincangan dan melalui media
elektronik; dan
5.1.5.1.2 Maklumat
Secara Tidak Langsung (indirect) : Maklumat secara tidak
langsung adalah melalui majalah, iklan, penulisan artikel, daripada
pembekal, pelanggan atau pakar runding yang berhubungkait dengan agensi
tersebut.
5.1.5.2
Kod Tatalaku:
Di dalam memporolehi maklumat daripada Rakan Rujukan, adalah perlu bagi
pihak Agensi Pelaksana untuk memberi perhatian kod tatalaku seperti
berikut:
5.1.5.2.1 Bersedia
dan sanggup untuk bertukar-tukar maklumat dengan Rakan Rujukan;
5.1.5.2.2
Menyimpan maklumat sulit dan tidak menyebarluaskannya;
5.1.5.2.3
Menggunakan maklumat untuk tujuan penandaarasan sahaja;
5.1.5.2.4
Membuat temujanji terlebih dahulu dengan Rakan Rujukan;
5.1.5.2.5
Memperolehi kebenaran terlebih dahulu sebelum berhubung dengan pegawai
tertentu;
5.1.5.2.6
Menunjukkan komitmen yang tinggi kepada Rakan Rujukan; dan,
5.1.5.2.7
Memberikan salinan laporan penandaarasan kepada Rakan Rujukan.
5.1.6
Langkah 6 : Mengukur Jurang Perbezaan
Di peringkat ini melibatkan
penganalisaan data yang diperolehi dan mengukur jurang prestasi di
antara Agensi Pelaksana dan Rakan Rujukan. Pihak Agensi Pelaksana perlu
meneliti dan mengukur perbezaan/jurang prestasi yang ada dan mengatur
tindakan penambahbaikan untuk menyamai atau melebihi prestasi pihak
Rakan Rujukan. Pihak Agensi Pelaksana juga perlu melihat faktor-faktor
lain yang mengakibatkan kecemerlangan yang diraih oleh pihak Rakan
Rujukan.
5.1.7
Langkah 7 : Mengambil Tindakan
Penambahbaikan
Di peringkat ini, pasukan kumpulan
tindakan/jawatankuasa kerja berkenaan haruslah menyediakan laporan yang
mengandungi hasil penyelidikan, analisis, cadangan penambahbaikan,
strategi pelaksanaan dan pelan tindakan. Laporan ini hendaklah
dikemukakan kepada jawatankuasa pemandu kualiti dan produktiviti atau
seumpamanya untuk ketetapan. Dalam melaksanakan proses penambahbaikan
berkenaan, ia boleh dilakukan melalui dua (2) proses iaitu :
5.1.7.1
Proses re-engineering - Perubahan penambahbaikan secara total ke
atas proses penyampaian perkhidmatan; dan,
5.1.7.2
Proses incremental - Melalui penambahbaikan secara sedikit demi
sedikit atau beransur-ansur.
5.1.8
Langkah 8 : Menilai
Jawatankuasa pemandu kualiti dan
produktiviti atau seumpamanya bertanggungjawab untuk menilai
keberkesanan pelaksanaan projek penandaarasan tersebut
sekurang-kurangnya enam (6) bulan selepas pelaksanaan. Apa yang harus
diteliti ialah hasil yang diperolehi dan sejauhmanakah projek ini
mencapai objektifnya. Setelah dinilai, pihak jawatankuasa pemandu
kualiti dan produktiviti boleh membuat keputusan sama ada untuk
meneruskan atau mengubahsuai projek tersebut. Sekiranya projek tersebut
memberikan faedah dan didapati sesuai, ia boleh dicadangkan sebagai
satu prosedur tetap untuk dilaksanakan di seluruh peringkat organisasi.
Selain itu, jawatankuasa ini juga boleh memutuskan sama ada projek
penandaarasan kedua boleh dimulakan.
Di dalam pelaksanaan penandaarasan di
peringkat Jabatan, struktur yang telah diwujudkan dibawah Pengurusan
Kualiti Menyeluruh (TQM) boleh digunakan. Pembentukan struktur
berkenaan dan juga penggubalan dasar peningkatan produktiviti dan
kualiti Jabatan harus diberikan perhatian terlebih dahulu, iaitu sebelum
mengembangmajukan sebarang kaedah atau pendekatan peningkatan
produktiviti dan kualiti. Struktur yang dimaksudkan mempunyai tiga (3)
peringkat iaitu Jawatankuasa Pemandu Kualiti dan Produktiviti/Mesyuarat
Pengurusan, Penyelaras dan Pasukan Petugas Kualiti dan Produktiviti
serta Pasukan-pasukan Kerja (di peringkat pengurusan dan staf) boleh
digunakan untuk penandaarasan. Ini dapat dilihat di Rajah 2.
8.
PERANAN PIHAK PENGURUSAN ATASAN (JAWATANKUASA PEMANDU KUALITI DAN
PRODUKTIVITI)
8.1 Bagi
sebarang program yang hendak dilaksanakan, sokongan pihak pengurusan
atasan adalah amat penting untuk memastikan kejayaannya. Oleh yang
demikian, peranan pihak pengurusan atasan di dalam menjayakan projek
penandaarasan ini ialah :
8.1.1 Memberi
komitmen, sokongan yang tinggi, penglibatan dan menentukan penandaarasan
dilakukan dengan sebaik mungkin;
8.1.2
Menetapkan matlamat
penandaarasan;
8.1.3
Memilih ahli pasukan
penandaarasan yang sesuai;
8.1.4
Memberi latihan yang
secukupnya;
8.1.5
Memberi persetujuan ke atas
pemilihan rakan rujukan;
8.1.6
Mempersetujui kaedah
pengutipan maklumat;
8.1.7
Memastikan hasil
penandaarasan dapat diserapkan ke dalam operasi harian;
8.1.8
Menyediakan segala keperluan
bagi memastikan penambahbaikan boleh dilaksanakan;
8.1.9
Memantau kemajuan/hasil
penandaarasan; dan,
8.1.10
Memberi pengiktirafan yang
sewajarnya.
9.
PENYEDIAAN PELAN TINDAKAN
9.1 Untuk
melaksanakan penandaarasan ini, pelan tindakan haruslah disediakan
terlebih dahulu seperti Rajah 3 berikut :
8.1 Pelaksanaan
Penandaarasan boleh dilaksanakan dalam tiga (3) peringkat iaitu :
8.1.1 Peringkat
Pertama - Memulakan Proses Penandaarasan
8.1.1.1
Pendedahan pegawai kanan mengenai konsep penandaarasan.
8.1.1.2
Komitmen pihak pengurusan atasan.
8.1.1.3
Pemilihan projek pertama.
8.1.2
Peringkat Kedua - Pelan Pelaksanaan
Proses Penandaarasan
8.1.2.1
Kesediaan organisasi untuk melaksanakan penandaarasan.
8.1.2.2
Mewujudkan sistem yang menyokong proses pelaksanaan penandaarasan.
8.1.2.3
Pengurusan atasan sebagai role model.
8.1.2.4
Komunikasi dan latihan.
8.1.3
Peringkat Ketiga - Penerusan Usaha Penandaarasan (sustaining
the effort)
8.1.3.1
Pihak pengurusan yang komited.
8.1.3.2
Kesediaan untuk proses pembelajaran dan pengubahsuaian ide-ide baru.
8.1.3.3
Organisasi yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perubahan.
8.1.3.4
Pengiktirafan ke atas usaha yang dilaksanakan.
8.1.3.5
Pemilihan ahli pasukan penandaarasan yang bertanggungjawab untuk
melaksanakan cadangan penambahbaikan.
8.1.3.6
Pemilihan projek yang kritikal bagi kejayaan organisasi.
9.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN
9.1 Untuk
memastikan kejayaan pelaksanaan penandaarasan ini kita perlu mengelakkan
amalan yang boleh menjejaskan pelaksanaannya. Antaranya ialah :
9.1.1 Memilih
Rakan Rujukan yang kurang sesuai yang bukan merupakan pengamal yang
terbaik di dalam bidang yang dipilih;
9.1.2 Melaksanakan
penandaarasan sekali saja dan tidak secara berterusan;
9.1.3 Melaksanakan
penandaarasan yang melibatkan kos yang tinggi dari faedah yang
diperolehi;
9.1.4
Melaksanakan penandaarasan sebagai lawatan industri semata-mata;
9.1.5 Memilih
Rakan Rujukan yang keberatan untuk memberikan maklumat yang diperlukan;
dan,
9.1.6
Agensi pelaksana tidak menghormati rahsia Rakan Rujukan.
10.
PENDEKATAN/KAEDAH BAGI MELAKSANAKAN PENANDAARASAN
10.1 Beberapa
pendekatan/kaedah bagi memudahcara pelaksanaan penandaarasan di
peringkat Kementerian/Jabatan telah dapat dikenalpasti. Di antaranya
termasuklah :
10.1.1
Rancangan Penambahbaikan Prestasi (PIP)
Rancangan Penambahbaikan Prestasi
atau lebih dikenali sebagai “Performance Improvement Planning (PIP)”
dan penubuhan Kumpulan Tindakan (Kumpulan Pengurusan) adalah di antara
beberapa strategi yang digunakan bagi melaksanakan program Penelitian
Semula Ke Atas Perkhidmatan Awam. Di dalam proses penelitian semula ini,
pihak pengurusan atasan memainkan peranan yang penting dalam memimpin
dan menggerakkan sebarang usaha/inisiatif penambahbaikan dan pembaharuan
dalam Kementerian/Jabatan masing-masing.
10.1.2
Program Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC)
Penyelesaian masalah-masalah kerja di
peringkat pegawai dan kakitangan bawahan atau di tempat kerja adalah
merupakan tumpuan Kumpulan Kerja Cemerlang. Setentunya program KKC ini
akan dapat melancarkan lagi usaha-usaha penandaarasan dalam Perkhidmatan
Awam keseluruhannya seperti menggunakan penandaarasan terlebih dahulu
sebelum membentuk sebarang matlamat dan/atau sasaran projek.
10.1.3
Program Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA)
Program ACPA adalah merupakan salah
satu inisiatif Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi
mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan Perkhidmatan Awam
Negara Brunei Darussalam. Di antara objektifnya termasuklah untuk
memberikan dorongan dan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang
telah memberikan sumbangan cemerlang bagi meningkatkan lagi prestasi,
kualiti dan produktiviti organisasi masing-masing, iaitu melalui
pelaksanaan amalan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang
berkualiti. Setentunya, terdapat projek-projek yang dicalonkan/memenangi
Anugerah berkenaan dapat digunakan sebagai penandaarasan (benchmarking)
di lain-lain agensi Kerajaan.
11.
KESIMPULAN
11.1 Pelaksanaan
penandaarasan adalah salah satu usaha yang berterusan ke arah
penambahbaikan yang berterusan yang perlu di laksanakan di setiap agensi
Kerajaan. Pelaksanaan konsep penandaarasan akan dapat membantu mencapai
prestasi pengurusan yang terbaik dan seterusnya mengembangmajukan
organisasi di masa depan. Walau bagaimanapun, kejayaannya banyak
bergantung kepada komitmen dan dedikasi daripada semua peringkat pegawai
dan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam.
12.
RUJUKAN
12.1 Garispandu
Pelaksanaan Penandaarasan Dalam Perkhidmatan Awam, Malaysia – JPM
Julai 1/99).
Dikemaskinikan pada 23-06-2002